![]() |
Rosli (depan, tengah) bergambar kenangan bersama penjawat awam yang hadir - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Hubungan baik di antara penjawat awam persekutuan dan negeri di Sabah diharap dapat dipertingkatkan lagi.
Menurut Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa, jabatan persekutuan dan negeri memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan pentadbiran dan pembangunan negara terus terpelihara.
"Saya berharap agar penjawat awam di Sabah dapat memainkan peranan yang besar untuk mengubah satu paradigma secara pemikiran supaya lebih strategik dan dapat membantu negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Kita juga perlu memastikan penjawat awam persekutuan dan negeri terus ditingkatkan dan pastikan budaya kerja kita terus bergerak maju.
"Jangan hanya kita melihat ruang lingkup kerja kita sahaja tetapi kita harus bertindak dengan lebih terbuka.
"Sebagai penjawat awam, kita adalah barisan hadapan dalam memastikan semua rancangan dan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya dalam Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan Negeri Sabah Tahun 2025 Bersama-sama Setiausaha Persekutuan Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.
Dalam pada itu, Rosli turut menekankan agar penjawat awam terus memberi perhatian kepada pendekatan yang dibawa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam di bawah H.E.M.A.T.
"H.E.M.A.T adalah Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Aspirasi Inovasi dan Telus Dalam Tadbiran iaitu nilai-nilai integriti, semak dan imbang, meraikan pandangan luar dan inisiatif digital yang baharu.
"Saya cadangkan supaya kita tingkatkan interaksi dengan jabatan-jabatan lain, membina hubungan yang lebih akrab, rajin datang berbincang, buat intervensi agar lebih nampak keterbukaan dalam pengurusan semua jabatan dan agensi," tambahnya.
Majlis berkenaan dihadiri oleh kira-kira 700 penjawat awam persekutuan negeri Sabah daripada 151 jabatan dan agensi.
Turut berlangsung, sesi perkongsian oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertajuk "Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam : Penghayatan Nilai dan Tatakelola dalam Organisasi" yang disampaikan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )