![]() |
Ruslan (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Murid Cemerlang kepada para penerima - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan melaksanakan Kurikulum Standard Tadika JHEAINS (KSTJ) di semua 17 tadika mulai Februari ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata pelaksanaan silibus baharu itu adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan merupakan perkembangan yang baik bagi sektor pendidikan di negeri ini.
"Apa yang menggembirakan kita pada hari ini, pihak JHEAINS telah pun mewujudkan KSTJ dengan kerjasama daripada pensyarah Universiti Malaysia Sabah dan enam guru dari Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya dan seorang lagi pegawai KEMAS Daerah Putatan.
"Pihak JHEAINS telah pun menyediakan silibus sendiri. Ini satu perkembangan yang saya lihat, satu perkembangan yang baik.
"JHEAINS telahpun menggubal beberapa dasar untuk mewujudkan silibus dalam masa empat tahun dari 2021 hingga 2024," jelasnya.
Mengulas lanjut ujar Ruslan, pewujudan silibus baharu itu membuktikan JHEAINS mampu mengeluarkan silibus sendiri tanpa meminggirkan Falsafah Pendidikan Negara.
"Maksud kita di sini, ia (silibus) ikut Falsafah Pendidikan Negara tetapi ia dikeluarkan oleh JHEAINS sendiri.
"Sudah tentu dengan adanya kurikulum standard ini, maka ianya menjadi satu kekuatan dan menjadi keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka di tadika JHEAINS," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tadika Peringkat Negeri Sabah 2024 mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Dewan Sa'adah Wisma MUIS, hari ini.
Seramai 350 murid berusia enam tahun bergraduasi dalam majlis konvokesyen yang melibatkan 17 tadika JHEAINS di seluruh Sabah.
Untuk rekod, Sabah memulakan operasi tadika di bawah kendalian Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 1974 di tiga lokasi iaitu Tadika JHEAINS Kem Lok Kawi, Tadika JHEAINS Likas dan Tadika JHEAINS Benoni, sebelum JHEAINS mengambil alih pentadbirannya pada tahun 1963.
( JABATAN PENERANGAN SABAH )