TAWAU: Tindakan tujuh individu memukul dan mencederakan seorang lelaki menggunaka paip PVC membawa padah selepas ditahan dalam satu serbuan, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pukul secara berkumpulan sehingga mendatangkan kecederaan.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan di beberapa lokasi di daerah ini.
“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan daripada perasaan tidak puas hati semua suspek sehingga mangsa dipukul dan cedera di bahagian tangan kiri.
“Susulan itu, pasukan polis berjaya menahan tujuh lelaki berusia 22 hingga 68 tahun dan merampas sebatang paip PVC disyaki digunakan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1958/63.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati enam daripada suspek pernah disabitkan dengan pelbagai kes jenayah seperti dadah, jenayah dan sebagainya.,” katanya.