Jeffery tidak perlu 'menyibuk' urusan proses rundingan kerusi dalam PH - Razeef



KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Razeef Rakimin menasihatkan Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed agar tidak mencampuri urusan proses rundingan kerusi komponen dalam Pakatan Harapan (PH). 

Memetik sumber *Free Malaysia Today*, Jeffery seharusnya mengambil maklum bahawa proses pertama adalah rundingan kerusi antara komponen, kemudian baru disusuli rundingan rakan strategik lain.

“Jeffery tidak perlu menyibuk urusan kami dalam PH. Jeffery tidak perlu terlalu gelojoh, apatah lagi dengan kedudukan beliau selaku pengarah pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Razeef, rakan strategik itu merujuk sama ada UMNO mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Beliau sepatutnya fokus kepada parti beliau dan mempersiapkan diri sebelum datang menghadap kami bagi rundingan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Jeffery yang menggesa PH Sabah menjelaskan kedudukan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Ia juga susulan kenyataan Razeef berkait kerusi Tanjung Aru menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Dalam perkembangan lain, Jeffery dilaporkan berkata PH seharusnya menyatakan pendirian mereka secara jelas sekiranya percaya tidak ada keperluan untuk membuat rundingan kerusi dengan BN.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama