![]() |
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin. Foto | IPD TAWAU. |
TAWAU : Lima wanita termasuk dua beranak ditahan reman sehingga esok selepas disyaki menyerang dan memukul seorang wanita di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel dekat sini, Isnin lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, selepas membenarkan permohonan oleh pegawai penyiasat Inspektor Robiatul Adawiyah Japri keatas semua suspek untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi berkata tangkapan keatas semua suspek dilakukan susulan laporan dibuat mangsa kira-kira jam 4.41 petang semalam.
Beliau berkata, mangsa berstatus janda anak satu itu dalam laporannya mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi, ketika dia hendak memasuki kenderaan mendapati empat tayar keretanya jenis Proton X50 telah dipancitkan.
"Tidak lama kemudian, mangsa mendakwa didatangi oleh lima orang wanita yang tidak dikenali telah bertindak menyerang dan memukulnya mengakibatkan dia mengalami beberapa kecederaan dan pendarahan di bahagian muka, belakang dan bahagian tepi kepala sebelah kiri.
"Bagaiamanapun, pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh abang pengadu yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu," katanya.
Jasmin berkata, mangsa juga turut mendakwa kerugian sebanyak RM4,000 apabila barang kemas miliknya iaitu seutas gelang tangan emas dan sepasang anting-anting turut hilang dipercayai telah diambil oleh salah seorang suspek terbabit.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati pengadu berumur 36 tahun dikatakan menjalin hubungan cinta hampir sebulan dengan seorang lelaki yang tinggal sekampung namun tidak mengetahui status sebenar reman lelaki yang sebenarnya adalah suami orang.
"Punca kejadian disebabkan pengadu dituduh perampas suami orang dan semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.