Sindiket penyelewengan 3,000 liter petrol tumpas

120 jeriken mengandungi cecair yang disyaki minyak petrol
 

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna berjaya tumpaskan sindiket penyelewengan sebanyak 3,000 liter minyak petrol bersubsidi, di sini Khamis lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Semporna, Dr. Jong Jee Leong berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan, sebelum serbuan dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di sekitar pekan Semporna, bermula jam 9 malam.

Katanya, modus operasi sindiket itu adalah menggunakan lori dan mengisi minyak petrol di beberapa stesen minyak sebelum dikumpulkan dan diedar di pasaran gelap.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan telah menemui sebanyak 120 jeriken mengandungi cecair yang disyaki minyak petrol dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 3,000 liter. 

“Sebuah lori disyaki membawa minyak petrol telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 53,369,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat.

“KPDN juga sedang menyiasat rantaian pengedaran minyak petrol berkenaan termasuk sumber minyak petrol itu diperolehi dan diedarkan.

“Pemantauan berterusan sedang giat dilaksanakan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan aktiviti sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.

Jee Leong turut memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan. 

“Mana-mana yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta.

“Bagi syarikat pula sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Katanya, syarikat terbabit juga boleh disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Jika disabitkan kesalahan mengikut Akta 613 boleh dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak KPDN,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama