Zon Maritim Sandakan rekod RM90.32 juta nilai rampasan tahun ini

  Muhamad Suhairy Hussain

 

 SANDAKAN: Sebanyak 67 buah kapal dan bot ditahan yang membabitkan nilai rampasan RM90.32 juta direkodkan Zon Maritim Sandakan sepanjang tahun ini.   

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan merekodkan nilai rampasan sebanyak RM90.32 juta sepanjang tahun 2024.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, seramai 136 orang turut ditahan sepanjang tahun ini atas pelbagai kesalahan dan 26 orang telah didakwa di mahkamah. 

Katanya, sebanyak 23,705 pemeriksaan kapal dan bot dilakukan dengan hampir 52,151 orang telah diperiksa dalam tempoh yang sama. 

Menurutnya, Maritim Malaysia komited menangani jenayah di laut dalam melaksanakan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang negara termasuk menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut. 

“Kempen kesedaran keselamatan di laut turut dilakukan bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti maritim tentang keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut. 

“Sepanjang tahun 2024, Zon Maritim Sandakan telah melaksanakan sebanyak 173 Taklimat Pencegahan CARILAMAT (Preventive SAR).

“Sebanyak 152 dilakukan oleh aset di laut dan 21 lagi melalui taklimat di sekolah dan pejabat Zon Maritim Sandakan dengan penglibatan melebihi 1,500 orang peserta pelbagai peringkat,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Sementara itu, Muhamad Suhairy berkata, sebanyak 57 orang dan RM3.21 juta harta benda berjaya diselamatkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2024.

Beliau turut mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca.

“Selain itu, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), memaklumkan destinasi dituju kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.

“Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau ke talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama