KALABAKAN: Pewujudan Pos Felda Selatan bernilai RM1.8 juta yang siap pada 27 September lepas dijangka mampu meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara di Sabah.
Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pos baharu itu adalah salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan operasi kawalan sempadan.
“Pos ini dibina bagi mengimbangi bilangan pos keselamatan sempadan yang dimiliki oleh tentera dari negara jiran.
“Terdapat 16 pos keselamatan tentera negara jiran di sempadan dan kini kita mempunyai 12 pos di Sabah termasuk Pos Felda Selatan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pos Felda Selatan di sini semalam.
Menurutnya, pos baharu itu adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan operasi kawalan di sempadan.
“Pos ini memiliki kedudukan yang strategik dari sudut pertahanan dan keselamatan negara kerana lokasinya berjarak 14 kilometer dari sempadan Indonesia.
“Ia sekali gus dapat melindungi komuniti Felda Selatan daripada ancaman rentas sempadan seperti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah terancang,” katanya.
Muhammad Hafizuddeain berkata, pembinaan pos ini adalah bukti komitmen kerajaan bagi memastikan keselamatan negara sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, ia selaras dengan dasar pertahanan negara yang menekankan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak termasuklah kerajaan Persekutuan, Sabah, agensi keselamatan dan komuniti setempat.
“Kerjasama yang begitu erat berjaya kita jalin antara pihak tentera dengan kerajaan negeri dan Persekutuan selama ini.
“Pihak ATM khususnya di negeri Sabah tidak menghadapi sebarang masalah kerana segala kesulitan dan cabaran yang dihadapi berjaya diselesaikan dengan cara baik serta harmoni,” katanya.
Terdahulu, Pos Felda Selatan telah mula diduduki oleh satu platun unit operasi sejak 3 Disember lepas dan dilengkapi dengan blok pentadbiran, kediaman, stor dan kemudahan asas lain.
Pos ini turut dilengkapi dengan teknologi moden termasuk sistem komunikasi taktikal untuk integrasi operasi selain penggunaan sistem solar untuk bekalan elektrik.