![]() |
Suspek warga emas berumur 69 tahun ditahan selepas disyaki memecah masuk sebuah premis dan melarikan beberapa barang milik sebuah syarikat di pusat bandar, di sini, petang semalam. Foto | Ihsan PDRM. |
TAWAU : Seorang lelaki warga emas yang aktif melakukan jenayah pecah masuk premis dan mencuri pelbagai peralatan serta harta benda sebelum dijual untuk mendapatkan wang membawa padah apabila dia ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat pihak syarikat berhubung kehilangan pelbagai barangan yang disedari pada 10 Disember lalu.
"Menurut pengadu, antara barangan yang hilang termasuk sebuah televisyen, meja, kerusi, peralatan gym, dan sebuah laci (drawer) yang dianggarkan bernilai ribuan ringgit.
"Suspek dipercayai memasuki premis tanpa kebenaran sebelum melarikan barangan tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 3.35 petang.
Katanya, beberapa barangan yang dicuri juga turut berjaya ditemui semula semasa serbuan dijalankan.
“Siasatan awal mendapati suspek bertindak seorang diri dan dipercayai menggunakan barangan tersebut untuk kegunaan peribadi selain untuk dijual.
"Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.