Duta Besar Republik Korea zahir penghargaan kepada ESSCOM

Duta Besar Republik Korea Yeo Seung Bae bersama  ESSCOM Zon Selamat Sabah Timur
 

LAHAD DATU: Duta Besar Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yeo Seung Bae zahir penghargaan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) atas kecemerlangan menjaga Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone)

Duta Besar Republik Korea berkenaan turut berterima kasih kerana berjaya memastikan keselamatan pelancong khususnya rakyat Republik Korea yang mengunjungi ESS Zone.    

Selain itu, beliau turut menyatakan rasa selesa dengan kunjungan ini yang disifatkan sebagai amat penting khususnya bagi mengetahui tahap keselamatan di ESS Zone.

“Ia supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada warga kami agar lebih ramai pelancong dari Republik Korea datang berkunjung ke Malaysia amnya, dan Sabah khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke ESSCOM, hari ini di Pejabat ESSCOM, di sini.

Sementara itu, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos turut menzahirkan terima kasih kepada Duta Besar Republik Korea dan delegasi yang sudi mengadakan kunjungan ke pejabat ESSCOM.

Katanya, ESSCOM mengalu-alukan kehadiran pihak Duta Besar Republik Korea bagi mengetahui sendiri situasi terkini di ESS Zone.

“Saya berharap melalui kunjungan ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kedua belah pihak dan paling utama selaras dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri melalui ESSCOM.

“kita berharap kerajaan Republik Korea dapat memberi keutamaan menarik balik nasihat perjalanan dan menggalakkan rakyatnya untuk datang berkunjung ke pantai Timur Sabah.

“Mudah-mudahan selepas kunjungan ini statistik kemasukan pelancong dari Republik Korea akan menunjukkan peningkatan yang signifikan,” katanya.

Terdahulu, Duta Besar Republik Korea dan delegasi telah diberikan taklimat mengenai tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang telah semakin mengukuh di ESS Zone.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali; Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin; Ketua Staf dan Pengarah Awam ESSCOM serta pegawai-pegawai kanan ESSCOM dan Kedutaan Besar Republik Korea.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama