Video 'Whistleblower': Masidi nafi terlibat, alu-alukan sebarang siasatan

Foto Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menafikan penglibatan dirinya berhubung video berkaitan perolehan projek mineral yang pernah tular sebelum ini.

"Saya merujuk kepada video ‘whistleblower’ mengaitkan saya yang telah disiarkan oleh Malaysiakini. Sekadar untuk makluman, saya tidak pernah ingat perbualan tersebut kerana rakaman perbualan tersebut telah disunting.

"Apa yang saya ingat beliau, menawarkan untuk menyumbang kepada parti dan saya telah menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Saya tidak tahu menahu mengenai wang sebanyak RM300,000 yang kononnya diserahkan melalui pegawai khas saya.

"Saya mengalu-alukan sebarang siasatan keatas dakwaan ini oleh pihak berwajib dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak agensi penyiasat," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan satu klip audio dan empat klip video memaparkan perbualan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dengan individu dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berita Malaysiakini.

Antara ADUN lain yang dikaitkan dengan klip audio itu adalah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dilaporkan berkata pihaknya sedia beri kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perkara itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama