13 PATI Vietnam dihantar pulang ke negara asal

Jabatan Imigresen Sabah melaksanakan pemindahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Vietnam ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. 


KOTA KINABALU– Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Asing ke Negara Asal bagi tahun 2024 dengan menghantar seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Vietnam ke Ho Chi Minh City, Vietnam.

Pemindahan ini melibatkan lelaki dewasa berumur antara 23 hingga 51 tahun yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Papar, Sabah. Mereka dihantar pulang menggunakan penerbangan AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, tahanan ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Kesemua PATI yang dihantar pulang telah menjalani hukuman penjara dan dilengkapkan dengan dokumen perjalanan sebelum dipindahkan ke negara asal," ujar beliau.

Beliau berkata, setakat tahun 2024, seramai 50 warganegara Vietnam telah dihantar pulang melalui pengangkutan udara, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,943 pendatang asing tanpa izin dari pelbagai negara dipindahkan ke negara asal. Kesemua mereka disenaraihitamkan dalam sistem JIM Sabah mengikut jenis kesalahan.

Sitti Saleha menjelaskan bahawa program pemindahan tahanan ini dilakukan secara berkala dan bergantung pada kerjasama erat dengan kedutaan asing di Malaysia.

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen Negeri Sabah,” katanya.

JIM Sabah turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah. Pelanggaran terhadap syarat pas atau permit juga akan dikenakan tindakan pendakwaan di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini," tambah beliau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama