Aplikasi & Buku ReTrack untuk tangani isu sosial dilancarkan


KOTA KINABALU– Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kelmarin melancarkan beberapa inisiatif utama termasuk Aplikasi dan Buku ReTrack, serta Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035, sebagai langkah untuk menangani isu-isu sosial yang sering dipandang ringan oleh Masyarakat. 

Menurut Hajiji, kepentingan aplikasi ReTrack, platform sokongan untuk membantu bekas penghuni penjara kembali ke masyarakat. 

"ReTrack berfungsi sebagai platform sokongan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan, membina jaringan sosial yang positif, dan memantau kemajuan reintegrasi mereka ke dalam Masyarakat,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035; Rangka Tindakan Transformasi Sulaman; Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Aplikasi serta Buku ReTrack di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa. 

Beliau turut memperkenalkan buku bertajuk “Dari Penjara ke Masyarakat: Komitmen, Kolaborasi, dan Kesejahteraan”, yang menghimpunkan pandangan pakar dari pelbagai sektor. Hajiji berharap penerbitan ini dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap bekas penghuni penjara.

Hajiji juga melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran 2024-2035, yang memfokuskan sektor pelancongan, pertanian, dan perikanan. Pelan ini dirangka untuk memastikan pembangunan lestari dan manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.

"Daerah Tuaran memiliki potensi besar dari segi keindahan semula jadi, budaya tempatan, dan hasil pertanian yang pelbagai.

“Pelan ini memastikan semua pihak berkepentingan iaitu daripada pengusaha kecil hingga pelabur besar, dapat bersamasama memanfaatkan peluang yang ada," katanya.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Rangka Tindakan Transformasi Sulaman, yang dirangka untuk memperkukuh industri sulaman tempatan. Projek ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan pengusaha kecil tetapi juga melestarikan seni budaya Sabah.

Hajiji menekankan Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan yang menyediakan sokongan teknologi serta peluang diversifikasi pendapatan, termasuk dalam sektor pelancongan dan pemprosesan hasil laut.

"Inisiatif ini dirangka kerana kita tahu bahawa komuniti nelayan yang sering menjadi mangsa perubahan ekonomi global, seperti ketidakstabilan harga dan perubahan iklim. 

"Inisiatif seperti Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Daerah Tuaran dan Rangka Tindakan Transformasi Sulaman menyasarkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, yang selaras dengan matlamat ini," ujar beliau lagi. 

Beliau menyeru semua pihak untuk bekerjasama merealisasikan strategi yang telah dirangka.

"Gunakan pengalaman, pengetahuan dan keupayaan dalam mencapai apa juga yang telah dirancang. Pelancaran hari ini hanyalah permulaan. Kita masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan inisiatif-inisiatif ini mencapai matlamatnya," tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama