Video tular pergaduhan di jeti: Kedua pihak setuju berdamai

Video tular yang dirakamkan oleh penduduk susulan kejadian pergaduhan sekumpulan individu yang berlaku pada 21 Disember 2023 sekitar jam 9.00 pagi di Jeti Kahanga. 

SEMPORNA: Polis Daerah Semporna telah mengambil tindakan susulan terhadap satu video pergaduhan yang tular di media sosial. Video tersebut, yang dimuat naik di akaun Facebook “Bajau Kuvang”, memaparkan pergaduhan sekumpulan individu di Jeti Kahanga pada Sabtu lalu.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, ASP Arif Abdul Razak @ Idris, siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 21 Disember 2023 sekitar jam 9.00 pagi di jeti tersebut.

“Setelah siasatan dijalankan, punca kejadian disebabkan berlaku perlanggaran kecil melibatkan bot penambang yang mengambil penumpang di jeti tersebut namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerugian yang besar kepada pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan media, Rabu lalu.

Menurut Arif, kedua-dua pihak yang terlibat telah hadir ke Balai Polis Semporna untuk memberikan keterangan dan maklumat diri masing-masing.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk berdamai dan tidak akan memanjangkan perkara tersebut memandangkan kedua pihak juga mempunyai hubungan kekeluargaan,” tambahnya.

Pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung isu yang diviralkan di media sosial.

Arif berkata, pihaknya turut menasihati masyarakat agar merujuk balai polis terdekat jika terdapat sebarang kebimbangan, bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama