![]() |
Bendera PKR |
PETALING JAYA: Jawatan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah seharusnya menjadi milik parti berkenaan berdasarkan formula dipersetujui dan dipatuhi semua komponen.
Berdasarkan sumber dari seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata jawatan terbabit tidak sepatutnya tidak dipertandingkan dan pemilihan awal bulan ini julung kali diadakan sejak PH Sabah dibentuk pada 2017.
Beliau mendakwa komponen PH Sabah melibatkan PKR, DAP, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Amanah secara tradisinya menamakan seorang pemimpin PKR untuk mempengerusikan PH Sabah.
“Sabah dipimpin PKR, jadi sekalipun pengerusinya digantikan, ia sepatutnya seseorang daripada PKR.
“Christina Liew sudah tinggalkan perkara lalu, tetapi kami minta penjelasan kerana struktur kepimpinan dalam PH Sabah berdasarkan apa yang diperuntukkan kepada parti,” katanya memetik sumber Free Malaysia Today (FMT).
Disamping itu, beliau turut mendakwa pemilihan oleh PH Sabah merupakan satu cubaan untuk mengetepikan PKR.
Sebelum ini, Datuk Christina Liew dilaporkan telah diturunkan daripada jawatan pengerusi yang disandangnya sejak 2017, selepas kalah kepada Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick pada 1 Disember lepas dengan kelebihan tiga undi.
Bagaimanapun, timbul spekulasi bahawa Pengerusi Biro Politik PKR Sabah itu berkemungkinan besar bakal mengetuai PH Sabah.
Jumaat lalu, Christina dilaporkan berkata perbincangan sedang diadakan berhubung perubahan dalam struktur kepimpinan peringkat negeri dijangka bakal berlaku dalam PKR Sabah.
Menurutnya, perkara terbabit telah dibincangkan dalam kongres khas parti berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, sumber terbabit turut mendakwa UPKO dan DAP melobi untuk menyingkirkan Christina.
“Mereka mahu menyingkirkan Christina kerana beliau tidak mudah dikawal. Beliau bukan boneka, jadi sukar untuk mereka,” katanya.
Timbalan Ketua DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin, menegaskan demokrasi harus dihormati.
“Setiap parti politik ada pemilihan dan tidak kira apa keputusannya, kita mesti menghormati proses demokrasi.”
Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu menggesa ahli PH Sabah memfokuskan masa depan, bukannya pertikaian dalaman dan pertukaran kepimpinan.
“Tiba masanya kita tinggalkan perkara lalu dan tumpu pada persediaan PRN akan datang.
“Ada kerja penting menanti kita dan pertikaian dalaman akan mengganggu kemajuan usaha kita,” katanya.