Tindakan SAPP tarik diri dari PN adalah keputusan tepat

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempengerusikan mesyuarat BPN Sabah pada 14 Disember lepas - ihsan BPN Sabah


KOTA KINABALU: Badan Pimpinan Bersatu Negeri (BPN) Sabah menyifatkan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengumumkan telah menarik diri dari gabungan Perikatan Nasional (PN, baru-baru ini merupakan keputusan tepat.

Setiausaha BPN Sabah, Yunus Nurdin berkata satu mesyuarat telah diadakan pada 14 Disember lepas yang dipengerusikan Ketua BPN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Jelasnya, mesyuarat mengambil maklum dan bersetuju dengan keputusan Majlis Tertinggi PN untuk menerima pemakluman keluar parti SAPP daripada gabungan terbabit

"Keputusan PN ini adalah satu keputusan yang tepat kerana tindakan dan kenyataan-kenyataan SAPP melalui presidennya yang bertentangan dengan hasrat serta aspirasi PN di Sabah.

"Mereka terbukti bukan rakan juang PN untuk menghadapi PRN Sabah. Mesyuarat merakamkan ucapan selamat maju jaya kepada SAPP, " katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya menerusi mesyuarat terbabit juga membincangkan persiapan PN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"BERSATU akan mulakan perbincangan agihan kerusi yang akan dipertandingan PN dengan parti gabungan PN dalam masa terdekat ini.

"PN Sabah dianggotai oleh BERSATU, PAS, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP)," katanya.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama