![]() |
Tun Musa melambai tangan kepada ribuan rakyat yang menyambutnya di Terminal 2 KKIA - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
KOTA KINABALU: Sambutan luar biasa rakyat Sabah berlangsung semasa ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini.
Pesawat khas yang membawa Tun Musa bersama-sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong selamat mendarat pada jam 12.02 tengah hari tadi.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Ruddy Awah, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, di samping ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.
Selain itu, sambutan meriah di luar turut berjalan di luar kawasan Terminal 2 KKIA dengan tarian, alunan muzik tradisional serta lambaian oleh rakyat dari beberapa DUN antaranya, Libaran, Liawan, Klias dan Membakut.
Semalam, Tun Musa menerima Surat Cara Pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Balairung Kecil, Istana Negara.
Pelantikan tersebut bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal sejak 1 Januari 2011.(JABATAN PENERANGAN SABAH)