![]() |
Antara PATI yang dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke ke Pelabuhan Bongao, Filipina. Foto | Ihsan JIM Sabah. |
TAWAU : Seramai 130 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang ke negara asal, melalui melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu, semalam.
Semua Pati yang ditahan di Depot Imigresen Tawau itu dipindahkan menggunakan perkhidmatan feri MV Ming Hai Express ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang itu membabitkan 39 lelaki dan 68 wanita, selain 12 kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan yang berumur sekitar satu tahun sehingga 65 tahun akan balik ke negara asal bersama ibu bapa atau penjaga yang sah.
Program penghantaran pulang tahanan itu adalah atas pembiayaan sendiri termasuk tiket feri serta caj kemudahan pengangkutan bas dari Depot di Tawau ke CIQS Lahad Datu sebanyak RM370 bagi penumpang dewasa dan RM205 untuk penumpang kanak-kanak berusia 5 tahun ke 13 tahun manakala bagi kanak-kanak berusia 4 tahun dan ke bawah adalah percuma.
"Semua Pati yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa," katanya menerusi kenyataan media di sini semalam.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Katanya, hingga kini seramai 5,813 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PATI dihantar pulang mencecah 8,467 orang.
Menurutnya lagi, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Dokumen Perjalanan (Travel Document) daripada pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia.
"Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen di seluruh Sabah.
"Mereka juga akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan," katanya.
Dalam pada itu katanya, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.
Tegas beliau lagi, tindakan pendakwaan akan diambil keatas majikan atau pemilik premis yang menggaji PATI tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran peraturan serta syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Justeru, majikan atau individu yang berhasrat menggaji warganegara asing bekerja di negara ini dinasihatkan supaya mengikut saluran yang betul berlandaskan undang-undang sedia ada," katanya.