KOTA KINABALU: Ucapan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan semasa merasmikan Pelancaran Jentera Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mengandungi sebarang unsur hasutan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata ucapan itu adalah pemberi semangat mengenai misi dan perjuangan parti dengan menekankan prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.
Katanya, prinsip ini menyeru pemuda untuk mempertahankan hak mereka dan berhati-hati dengan musuh dalam selimut yang cuba merampasnya.
“Mengapa Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar terkesan dengan ucapan ini? Adakah beliau mengakui bahawa UMNO adalah musuh dalam selimut untuk kerajaan Sabah?.
“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, tidak wajar bagi Bung menyerang Dr. Jeffrey secara peribadi dengan mengungkit perjalanan politiknya yang penuh liku,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, sebagai pemimpin yang pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan GRS serta menang di DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan atas sokongan ahli GRS, Bung sepatutnya menyokong prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.
Namun, katanya, Bung masih sukar menerima hakikat bahawa era Barisan Nasional (BN) sudah berlalu. Kini adalah era GRS, dengan misi dan perjuangan rakyat Sabah yang dipacu oleh Pelan Sabah Maju Jaya.
“Bung juga harus sedar bahawa rakyat Sabah kini semakin memberi sokongan kepada parti tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi mereka.
“Serangan beliau hanya menonjolkan keresahannya dan UMNO terhadap sokongan rakyat yang semakin berkurangan,” katanya.
Nizam berkata, Dr. Jeffrey berhujah berasaskan fakta, bukan retorik politik. Bung, sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selama beberapa penggal, pastinya sedar kawasan itu masih mundur dan daif.
“Lebih mengejutkan, Bung memberikan kepercayaan kepada rakaman video yang meragukan dan jelas memiliki motif politik.
“Adakah Bung sebahagian daripada komplot ini sehingga bertindak menjadi pendakwa dan hakim sekali gus,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, sebagai pemimpin, Bung seharusnya lebih bijak memahami bahawa mana-mana rakaman video, audio, atau gambar yang telah disunting dan ia tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.
“Saya berpendapat adalah lebih baik beliau sendiri fokus dengan tuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya ketika ini.
“Justeru, nasihat saya kepada Datuk Bung Moktar adalah supaya tidak menjaga tepi kain orang, fokus pada isu sebenar, dan patuh pada undang-undang negara tanpa membuat tuduhan melulu,” katanya.