TAWAU: Dua lelaki memandu dalam keadaan mabuk menerima padah apabila mereka dikenakan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Mohammad Alif Baharin, 21, dan Liew Vui Teck, 47, dikenakan hukuman itu selepas mengaku salah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Alif dalam keadaan dipengaruhi alkohol terlibat dalam kemalangan dan melanggar tiang lampu di Jalan Chong Thien Vun pada 29 November lalu jam 10.25 malam.
Manakala, Liew yang juga memandu dibawah pengaruh alkohol terlibat dalam kemalangan dan melanggar sebuah kereta lain di Jalan Bukit Quoin Simpang Batu 15 Jalan Apas pada 24 November lalu jam 4.50 petang.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Don Stiwin kemudian mengenakan hukuman penjara tujuh hari, denda RM10,000 terhadap kedua-dua tertuduh dan dikenakan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda serta lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung selama dua tahun.
Sementara itu, seorang lagi lelaki warga emas dipenjara sehari dan denda RM10,000 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Lim Tian Hock, 61, didapati memandu dibawah pengaruh alkohol di Jalan Chong Thien Vun pada 30 November lalu jam 12.10 tengah malam.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah semua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Semua pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.
Katanya, hukuman berat itu mengambil kira kepentingan awam dan banyak risiko yang akan berlaku akibat memandu dalam keadaan mabuk.
“Tertuduh telah melanggar kereta orang awam dan puncanya adalah disebabkan dibawah pengaruh alkohol sehingga hilang fokus pemanduan.
“Hukuman yang tinggi juga diharap dapat mengurangkan pemandu mabuk, sekali gus sebagai pengajaran, kesedaran dan keinsafan kepada diri tertuduh,” katanya.