![]() |
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Aksyah Nasrah |
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Aksyah Nasrah hari mengumumkan keluar daripada parti terbabit dan menyatakan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hari ini
Beliau mengumumkan meletakkan semua jawatan dalam BERSATU disamping ia telah berkuat-kuasa serta merta.
"Saya ingin mengumumkan bahawa saya telah meletakkan semua jawatan dalam parti BERSATU dan mengisytiharkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta merta.
"Saya telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee bertarikh 28 Disember lepas dan salinan surat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung BERSATU.
"Peletakan jawatan ini dibuat atas keputusan saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa pun," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, beliau menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan perjuangan GRS dalam mempertahankan hak dan kepentingan Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
Justeru katanya, slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” merupakan satu naratif tepat dalam memastikan Sabah dipimpin dan diurus oleh kepimpinan parti tempatan tanpa menafikan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya lagi, beliau melihat bahawa selaku Ketua Menteri Sabah, Hajiji yang juga Pengerusi GRS ikhlas dalam memajukan Sabah melalui GRS disamping menyeru rakyat negeri ini menyokong perancangan dan gagasan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Melalui penyatuan dan gabungan semua parti-parti tempatan, yang mewakili majoriti rakyat Sabah, saya yakin dan percaya Hajiji dan GRS mampu membawa negeri Sabah lebih maju.
"Apa guna kita berpecah? Hajiji berniat baik satu padukan kita semua. Ini masa terbaik kita majukan negeri kita yang tercinta melalui GRS.
"Kita beri mandat penuh kepada GRS dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17). Saya juga akan turut serta membantu Hajiji dan GRS pada PRN17 ini.” katanya.