Kumpulan mahasiswa terlibat anjur perhimpunan aman esok tidak mewakili UMS

Kasim Mansor turut menyeru agar pelajar UMS tidak terlibat dalam perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan keselamatan awam khususnya pelajar itu sendiri.


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan kumpulan mahasiswa yang terlibat dalam penganjuran ‘Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah’ esok di hadapan Menara Kinabalu adalah tidak mewakili UMS atau mana-mana entiti dalam UMS termasuk fakulti, akademi, pusat, institut serta warga universiti ini. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan ini agar sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan.

"Ini termasuk arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan serta keselamatan mahasiswa dan ketenteraman awam terpelihara. 

"UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika. 

"Sebarang idea dan cadangan ke arah kesejahteraan masyarakat perlulah disampaikan secara berhemah kerana mahasiswa merupakan golongan terpelajar yang mampu menyumbang kepada keharmonian masyarakat melalui tindakan matang yang berpandukan etika, peraturan dan undang-undang," jelas dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor turut menggesa agar pelajar lebih fokus kepada peperiksaan akhir yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Selain itu, beliau turut menyeru agar pelajar UMS tidak terlibat dalam perhimpunan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan keselamatan awam khususnya pelajar itu sendiri.

"Warga UMS juga sentiasa dinasihatkan agar menjunjung kesopanan dan kesusilaan terutamanya ketika berinteraksi sosial sesama manusia dengan cara menghormati orang lain, berkomunikasi secara berhemah, bertanggungjawab, bertoleransi dan bersangka baik," jelasnya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama