![]() |
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin |
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah berikrar akan mengeluarkan lapan daerah daripada kelompok paling miskin jika memenangi Pilihan Raya Neger (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan kerajaan negeri paling gagal dalam sejarah Sabah berikutan janji menyediakan ratusan ribu peluang kerja tidak ditunaikan.
Selain itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut berkata sehingga kini, Sabah turut mengekalkan rekod antara negeri termiskin dan mencatat kadar pengangguran antara tertinggi di Malaysia.
“Kalau benar ada begitu banyak peluang pekerjaan, mengapa kadar kemiskinan masih begitu tinggi.
“BN juga akan mempertingkatkan daya saing hidup rakyat melalui tawaran-tawaran baru dalam PRN akan datang.
"BN juga akan mengeluarkan lapan daerah termiskin di Sabah dan BN akan menyediakan ruang pinjaman perniagaan kepada anak-anak muda kelak,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata BN akan membangunkan pelabuhan bertaraf antarabangsa dan menaik taraf lapangan terbang di Kudat sekiranya diberikan mandat mentadbir kerajaan.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 10 daerah paling miskin di negara direkodkan dan lapan antaranya melibatkan daerah di Sabah iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau, dan Lahad Datu.