Sudah tiba masanya politik di Sabah lebih matang menjelang 2025: Rina

Rina berkata, pendekatan kerajaan GRS hari ini bukan hanya untuk infrastruktur sahaja, tetapi lebih kepada rakyat merasai secara terus bantuan yang disediakan.

TAWAU: Pemimpin kerajaan dan pembangkang di negeri ini perlu bersefahaman di peringkat dalaman bagi memastikan penyampaian peruntukan Persekutuan atau negeri telus demi kesejahteraan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal berkata sudah tiba masanya dalam lembaran baharu menjelang 2025 semua pemimpin parti berpolitik lebih matang supaya Sabah terus maju seperti negeri lain.

Katanya, kebanyakan pemain politik di negeri ini telah melalui pelbagai fasa dalam kariernya dan perpindahan parti sudah menjadi asam garam untuk mencari kesesuaian perjuangan demi nasib rakyat.

“Saya kini berpaut bersama Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merupakan parti lokal terbesar di Sabah kerana melihat perjuangannya lebih telus membela nasib rakyat.

“Jika dilihat pemimpin kerajaan negeri hari ini telah melalui fasa politik yang cukup mendewasakan bermula dengan berpaksi parti nasional sehingga membentuk parti lokal yang kuat,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, GRS dibentuk kerana melihat aspirasi rakyat yang mahu menuntut perubahan kemajuan yang setimpal dengan hasil negeri.

“Rakyat Sabah mahukan suara yang aman tapi tegas dalam membentuk dasar berperlembagaan dengan hak kesaksamaan sebagai warganegara Malaysia.

“Justeru, berdiri sebagai satu suara lokal seterusnya menjadi keseimbangan yang kuat bersama Sarawak dalam blok Borneo dan mampu menuntut Perjanjian Malaysia 1963 ke peringkat lebih nyata,” katanya.

Rina berkata, pendekatan matang Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menubuhkan GRS dengan menghimpun semua pemimpin lama di bawah suara gabungan sentimen Sabahan dilihat tepat.

Katanya, semua rakyat di negeri ini mahu melihat Sabah bukan hanya sebuah negeri merdeka, tetapi permata yang sangat bernilai buat Malaysia.

“Oleh itu, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, saya mencadangkan peruntukan perlu diberi saksama semua ADUN mengambil kira keperluan rakyat mendahului kepentingan politik.

“Kekesalan saya ketika di blok pembangkang adalah mereka tidak ‘moved on’, walhal persefahaman boleh dibentuk dengan kerajaan negeri dalam pengagihan peruntukan kepada ADUN bukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata, pasca COVID-19 telah mengesankan rata-rata rakyat pada masa itu, adalah penting mengetepikan perbezaan politik dan berusaha memberi khidmat yang terbaik setelah tamat pilihanraya.

“Namun sebaliknya berlaku kerana pembangkang masih tidak berhenti berusaha untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah dibentuk pada masa itu sehingga kestabilan politik sukar dikecapi.

“Perkara itu menguatkan lagi sokongan saya kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji untuk memberi kestabilan lebih meyakinkan membawa hala tuju Sabah Maju Jaya demi kemakmuran rakyat,” katanya.

Sementara itu, Rina berkata, pendekatan kerajaan GRS hari ini bukan hanya untuk infrastruktur sahaja, tetapi lebih kepada rakyat merasai secara terus bantuan yang disediakan.

“Antara bantuan itu termasuklah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, peruntukan RM50 juta bantuan membayar bil elektrik, RM300 untuk keluarga miskin, RM5,000 ‘one off’ kepada penjaja, bantuan PIBG dan banyak lagi.

“Semua bantuan itu adalah inisiatif kerajaan GRS bagi membantu rakyat dan tidak pernah rakyat dapat daripada kerajaan lalu,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama