![]() |
Jambatan gantung di Kampung Pasir Putih, Tawau yang menjadi penghubung utama penduduk kampung. |
TAWAU: Jambatan gantung di Kampung Pasir Putih, di sini yang rosak dan hanyut akibat banjir tahun lepas sudah siap sepenuhnya dan boleh digunakan semula untuk aktiviti harian penduduk.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata jambatan gantung itu adalah laluan penghubung utama penduduk kampung di sini yang tinggal di seberang sungai.
Katanya, tragedi banjir besar pada Ogos tahun lepas telah menghanyutkan jambatan gantung yang menjadi laluan terdekat penduduk di seberang sungai menjalankan aktiviti seharian termasuklah murid sekolah.
“Sejak kejadian itu murid sekolah di kampung berkenaan terpaksa bergadai nyawa menggunakan sampan untuk menyeberang sungai kerana jalan alternatif lain yang ada terlalu jauh.
“Justeru, tahun lalu saya memohon agar kerajaan dapat menyediakan peruntukan membina semula jambatan gantung sepanjang kira-kira 80 meter ini menggunakan besi supaya lebih kukuh,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata demikian ketika melawat jambatan gantung Kampung Pasir Putih, di sini, baru-baru ini.
Suryady menzahirkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana mendengar denyut nadi penduduk di sini dan meluluskan peruntukan untuk pembinaan jambatan gantung ini.
“Saya berharap dengan adanya jambatan gantung yang diperbuat daripada besi ini akan lebih kukuh dan dapat bertahan sekiranya berlaku lagi banjir besar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, setakat ini perancangan seterusnya di kampung ini adalah memperbaiki sistem aliran sungai supaya lebih lancar dan mengurangkan kesan banjir.
“Kita telah mencadangkan kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah untuk menambah konkrit di tebing sungai supaya saliran air sungai lebih lancar.
“Ketika ini, tebing sungai di sini berisiko hakisan dan runtuhan, selain mudah dinaiki air sekiranya berlaku banjir besar,” katanya.