'Sarang Dadah' diserbu, enam penagih ditahan

 


TAWAU: Enam lelaki ditahan selepas terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di Batu 2, Jalan Apas, di sini, semalam. 

Semua suspek terbabit ditahan sepasukan polis daripada Balai Polis Tawau di sebuah rumah yang disyaki dijadikan sebagai 'sarang dadah' kira-kira jam 8 malam. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan yang dilakukan oleh semua suspek terbabit. 

Katanya, ketika serbuan, polis membuat pemeriksaan ke atas semua lelaki terbabit yang berusia 16 hingga 34 tahun.

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan di kawasan rumah pula berjaya menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine.

"Turut ditemukan satu lagi peket plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja bersama peralatan menghisap dadah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama