Inspektor polis tidak mengaku palsukan dokumen rakaman percakapan anggota


Inspektor polis tidak mengaku  palsukan dokumen rakaman percakapan anggota berkaitan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya tahun lalu

TAWAU : Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen berkaitan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, September tahun lalu.

Tertuduh, Crall Mark Bait, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya yang masing-masing di bacakan  dihadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin dan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa memalsukan dokumen berupa rakaman percakapan yang dibuat oleh tiga anggota polis masing-masing berpangkat Sarjan dan Koperal atas jawatan rasmi mereka iaitu rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, yang telah digunakan dalam Kertas Siasatan Jenayah Narkotik Tawau JSJN/ADB/1005/23.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau antara jam 10 pagi hingga 2.00 petang pada 10 September tahun lalu.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berikutan pengakuan tertuduh itu, Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam menawarkan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia kini ditahan kerja lebih setahun lalu dan hanya menerima gaji sebanyak RM700 selain menanggung keluarga dengan seorang anak yang masih kecil.

Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,300 untuk kesemua pertuduhan dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 2 dan 6 Januari 2025 sebagai tarikh serahkan dokumen dan pengurusan kes.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama