![]() |
Shahelmey (tiga kiri) bersama kontraktor dan kementerian dalam rangka lawatan meninjau projek Pan Borneo - ihsan Jabatan Penerangan Sabah |
BEAUFORT : Selesaikan segera isu teknikal agar projek Pan Borneo Sipitang dan Beaufort siap mengikut jadual.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya meminta pihak yang terlibat agar bekerjasama menyelesaikan isu-isu teknikal yang timbul demi kelancaran projek yang sedang berjalan.
"Dalam lawatan kerja ke Sipitang hari ini (semalam), saya turut meninjau progress kemajuan kerja pakej Pan Borneo iaitu pakej satu dan pakej dua di Sipitang dan Beaufort.
"Saya melihat sendiri dari dekat isu-isu semasa yang menyebabkan kelewatan prestasi kerja pakej-pakej ini, jadi turut hadir dalam lawatan kerja hari ini adalah pihak kontraktor dan juga pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak jururunding pengurusan projek.
"Ada beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan, saya minta mereka selesaikan segera agar isu-isu tersebut tidak lagi mengganggu kemajuan kerja yang sedang dilaksanakan dan saya berharap pihak kontraktor juga meningkatkan lagi prestasi mereka agar projek ini boleh kita siapkan dalam jangka masa yang kita jangkakan," katanya ketika ditemui media dalam lawatan Kerja Rasmi beliau ke Daerah Sipitang di Projek Pan Borneo WP02 Beaufort pada Selasa.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya memaklumkan Pakej 1 Pan Borneo dijangka siap pada penghujung 2025 manakala pakej 2 masih menunggu semakan jadual.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berharap agar projek Pan Borneo dapat disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat.
"Selaku ahli Parlimen, saya mengharapkan supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan segera kerana menjadi kepentingan rakyat dan merupakan laluan utama bukan sekadar dari Sarawak tetapi juga Brunei.
"Ini juga merupakan satu keperluan yang sangat penting dan kita harapkan supaya akan ada kolaborasi bukan sekadar JKR, Kementerian tetapi juga pihak kontraktor supaya projek ini dapat dilaksanakan dan akhirnya apa yang mendapat manfaat adalah rakyat," ujarnya.
( JABATAN PENERANGAN SABAH)