![]() |
Ketua Menteri berkata bahawa Kerajaan Negeri turut memberikan penekanan kepada pembangunan Sekolah Adat, termasuk memperkenalkan 19 mata pelajaran berkaitan adat, bahasa, dan seni tradisional. |
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa langkah ini penting bagi memastikan khazanah budaya Sabah kekal terpelihara untuk dinikmati generasi masa kini dan akan datang.
“Usaha ini merupakan pelaburan yang penting demi masa depan dan akan membawa perubahan besar kepada pelestarian budaya kita, sekaligus memastikan Sabah terus kaya dengan budaya dan tradisinya,” katanya. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, pada Majlis Makan Malam Amal Sekolah Adat Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), Isnin lalu.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberikan penekanan kepada pembangunan Sekolah Adat, termasuk memperkenalkan 19 mata pelajaran berkaitan adat, bahasa, dan seni tradisional.
“Ini bukan sekadar proses pendidikan, tetapi satu usaha menyemai nilai dan jati diri yang akan menentukan kesinambungan budaya kita untuk generasi akan datang,” katanya.
Hajiji menyatakan bahawa salah satu inisiatif utama Sekolah Adat ialah penubuhan Makmal Hidup Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Pengajian Orang Asal Borneo. Makmal ini bertujuan memelihara adat dan bahasa, memberdayakan komuniti, dan meraih pengiktirafan global.
“Kerajaan Negeri menyambut baik usaha itu sebagai salah satu pendekatan strategik untuk memperkasakan warisan budaya dan bahasa kita. Sebagai tambahan, kandungan Makmal Hidup akan diselitkan dalam penerbitan buku teks untuk memberikan dimensi tambahan kepada pembelajaran, menghubungkan adat, bahasa, dan seni dengan pendekatan pendidikan moden”, ujar beliau lagi.
Selain itu, beliau turut menyeru sektor swasta, badan bukan kerajaan, dan rakyat Sabah agar bersama-sama menyokong usaha Sekolah Adat mendapatkan pengiktirafan daripada UNESCO di bawah kategori Good Safeguarding Practices.
Hajiji berkata, langkah ini akan menjadikan Sabah sebagai contoh terbaik dalam pelestarian budaya di peringkat global.
“Kejayaan Sekolah Adat adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan juga memastikan penerbitan buku teks ini berjalan lancar dan memberi impak jangka panjang terhadap kelestarian budaya kita,” tambahnya.