KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyuarakan kebimbangan terhadap landskap politik negeri yang semakin tercemar dengan budaya fitnah dan adu domba.
Budaya ini menjadi punca utama golongan belia menolak penglibatan dalam politik, sekali gus merencatkan pembangunan literasi politik dalam kalangan pengundi muda serta memberi kesan kepada kestabilan politik Sabah.
Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, menegaskan bahawa keadaan ini turut memberi kesan negatif kepada kestabilan politik negeri, yang penting untuk kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Mengenai dakwaan skandal rasuah yang melibatkan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Abqaree menganggap tindakan tersebut sebagai tidak sihat untuk belia dan kestabilan negeri.
"MBS menggesa individu yang mendakwa sebagai 'whistleblower' untuk tampil secara bermaruah dan melaporkan isu tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seperti yang disarankan oleh Ketua Menteri Sabah." katanya
Abqaree juga mengkritik tindakan melapor kepada media tanpa mengikut etika kewartawanan, yang menurutnya hanya mencetuskan kegusaran awam dan mengganggu kesejahteraan rakyat.
Dalam kenyataan yang sama, MBS menyatakan sokongan penuh terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, khususnya dalam memastikan agenda pembangunan negeri termasuk Belanjawan Sabah 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar.
Abqaree menyeru para pemimpin dan belia negeri untuk bermuhasabah dan mengambil pengajaran daripada sejarah Sabah, yang sering menjadi mangsa campur tangan pihak luar sehingga merugikan rakyat meskipun negeri ini kaya dengan sumber alam.
MBS berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara telus demi kepentingan rakyat, khususnya golongan belia yang banyak bergantung kepada kestabilan politik untuk terus membangun.