KOTA KINABALU: Perbincangan mengenai pengagihan kerusi Gabungan Rakyat Sabah dan Pakatan Harapan (GRS-PH) akan dibincangkan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kelak.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata setakat ini belum ada sebarang rundingan dibuat oleh pihaknya berkenaan perkara terbabit.
"Kita belum sampai ke tahap itu (rundingan pengagihan kerusi). Sebenarnya saya dilantik untuk membentuk satu jawatankuasa lebih sebagai satu konsultasi dikalangan pemimpin parti komponen lain untuk melihat secara kasar mana kerusi yang mungkin sesuai untuk setiap parti.
"Sebenarnya Yang Berhormat Ketua Menteri pun menyatakan lebih awal bahawa kita akan bincang ini bila DUN dibubarkan. Bagi kita, tidak ada keperluan untuk kita percepatkan kerana setakat ini pun terdapat kerjasama yang erat diantara PH dan GRS.
"Kita perlu yakin isu pembahagian kerusi ini bukan sesuatu yang rumit diantara GRS dan PH tapi lebih kepada memenuhi cita rasa dan hasrat bagi setiap komponen dalam GRS itu sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis 'Grand Opening Bawal Ratu Kota Kinabalu' bertempat di Kompleks Karamunsing, di sini, semalam.
Dalam pada itu, ketika beliau diminta mengulas mengenai mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS baru-baru ini, Masidi menjelaskan pihaknya telah membentuk beberapa jawatankuasa khusus.
Katanya, ia bagi memastikan GRS bersedia menghadapi PRN yang mungkin akan diadakan pada bila-bila masa.