KPDN laksana Ops Kesan 3.0 selaras pelaksanaan SSPA

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali ketika meninjau beberapa premis pada Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) dan melancarkan OPS KESAN 3.0 - ihsan KPDN

 

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Ops Kesan 3.0 dimana ia sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya melaksanakan operasi terbabit bagi memantau dan mengekang aktiviti pencatutan.

Mengulas secara lanjut, katanya pihaknya menggunakan lima pendekatan iaitu melaksanakan proses pengumpulan data dan harga serta caj perkhidmatan yang bermula sejak 1 Oktober lalu.

Selain itu, katanya KPDN melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Oktober lepas.

"Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA.

"Kita juga mengguna pakai data-data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN yang meliputi sebanyak 480 item sebagai panduan pemantauan sebarang pergerakan harga.

"Disamping itu, kita memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan partisipasi awam sejajar dengan pelaksanaan Kita Gempur yang telah dilancarkan di Kota Kinabalu sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Armizan turut berkata juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam daripada masa aduan diterima.

Ujarnya, sepanjang tempoh pengumpulan data Ops Kesan 3.0 itu, sebanyak 2,803 premis di seluruh negara diperiksa membabitkan 13,209 item.

Katanya, premis yang terlibat diberikan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Ops itu dilakukan bagi mengesan pihak yang membuat peningkatan harga dengan tujuan mengaut keuntungan secara berlebihan, sekali gus mengekang aktiviti pencatutan apabila bermulanya kenaikan gaji penjawat awam," katanya.

KPDN juga menyediakan saluran aduan rasmi bagi membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat menerusi saluran Whatsapp 019-8488000, portal e-aduan di http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 dan di aplikasi Ez ADU KPDN.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama