TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) diminta supaya menangguhkan sementara pelaksanaan caj baharu lesen perniagaan sehingga peniaga di daerah ini faham tujuan penyelarasan itu dilaksanakan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihak MPT perlu memberi penjelasan kepada semua peniaga yang terlibat sebelum ia dilaksanakan.
Katanya, penyelarasan itu sebenarnya dilakukan di seluruh Sabah dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri selepas pembentang di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.
“Saya telah mendapat aduan daripada peniaga mengenai perkara ini dan difahamkan ia hanya akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Namun, saya melihat perkara ini perlu ditangguhkan sementara sehingga pihak MPT dapat memberikan penerangan dengan jelas kepada semua peniaga terlibat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui dalam majlis sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Sekolah Kebangsaan Batu 4, di sini, hari ini.
Nizam berkata, pihaknya juga sudah mmberikan makluman dengan presiden MPT supaya menangguhkan sementara pelaksanaan caj baharu lesen perniagaan di daerah ini.
“Saya berharap semua pemegang taruh atau usahawan di daerah ini dapat menerima semua rancangan yang kerajaan negeri laksanakan untuk kebaikan semua,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis ini, Nizam berkata semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan sewajarnya untuk masa depan yang lebih baik.
Katanya, ibu bapa dan guru-guru seharusnya memberikan perhatian dengan lebih teliti supaya kanak-kanak yang ada hari ini dapat memberikan sumbangan kepada negeri dan negara tercinta pada masa depan.
“Majlis meraikan kanak-kanak seperti ini adalah inisiatif yang baik bagi memastikan golongan berkenaan mendapat layanan yang sepatutnya daripada aorang dewasa.
“Selain itu, majlis ini juga dilihat dapat merapatkan hubungan silaturrahim antara ibu bapa, guru-guru dan pelajar.
“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada warga SK Batu 4 kerana berjaya menganjurkan majlis ini dan berharap ia akan diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.