![]() |
Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza bergambar sambil memegang poster provokasi kepada Tun Musa Aman di hadapan bangunan Maybank Gaya Street, di sini, pagi ini. |
KOTA KINABALU: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza mencetuskan kekecohan di laman media sosial apabila tular gambarnya memegang poster provokasi yang didakwa satu penghinaan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah baharu, Tun Musa Aman di hadapan bangunan Maybank Gaya Street, di sini, pagi ini.
Gambar terbabit dimuat naik di laman media sosial Facebook kepunyaan beliau sehingga mendapat lebih 600 perkongsian, setakat ini.
“Provokasi yang memecah belah Sabah. Kalau tidak setuju dengan keputusan ada caranya, bukan dengan cara seperti ini. Orang Sabah cuba dulu berfikir secara rasional bukan dengan emosi yang penuh bisikan-bisikan panas baran yang mahu menyerang saja. Saya yakin di sebalik ni, ada dalang-dalang game mainkan emosi dan fikiran kita,” tulis pengguna media sosial, Sophea dalam satu ruangan komen gambar yang tular tersebut di facebook.
Pautan terbabit juga menguatkan dakwaan orang ramai bahawa beliau dipercayai akan turut serta dalam gerakan gempur rasuah yang dianjurkan oleh Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 31 Disember ini.
Sebelum ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekod keterangan Fahmi untuk siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah baharu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ ) Bukit Aman selepas laporan diterima pihaknya.