![]() |
Foto ihsan visitMalaysia.info |
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengadakan mesyuarat bersama operator Perdana Park Tanjung Aru susulan permintaan orang ramai bagi membincangkan status pembukaan semula taman tersebut, di sini, Isnin lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon berkata, mesyuarat tersebut adalah terdiri daripada Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR), dan beberapa jabatan dalaman DBKK.
“Dalam mesyuarat berkenaan, wakil operator taman telah memaklumkan bahawa Perdana Park Tanjung Aru masih kekal ditutup buat masa ini atas sebab risiko keselamatan kerana beberapa fasiliti dan infrastruktur taman telah mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki serta dipulihkan secara menyeluruh.
“Antara kerosakan yang dilaporkan adalah trek joging yang rosak akibat cuaca dan penggunaan, peralatan taman permainan kanak-kanak yang berkarat, serta lantai taman permainan yang tidak selamat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman rasmi sosial media milik DBKK pada Khamis lalu.
Di samping itu, operator taman turut menjelaskan bahawa tarikan utama seperti 'musical fountain' dan 'jumping jet' turut tidak berfungsi. Manakala, lantai konkrit yang tidak rata akibat akar pokok dikenal pasti sebagai risiko keselamatan, terutamanya kepada pengguna kerusi roda.
“Pihak operator juga menyatakan keperluan untuk menyelenggara sistem pembetungan dan perparitan kawasan taman dan memperbaiki pagar yang rosak,” tambahnya.
Menurut Robert, JKR Sabah turut menilai tahap kerosakan dan menyediakan anggaran perbelanjaan bagi membaiki keseluruhan taman dan bajet pembaikan kini dalam proses pertimbangan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Terdahulu, Perdana Park Tanjung Aru ditutup pada 11 September 2024 berikutan insiden serangan memerang terhadap pengguna taman.