BELURAN: Empat pelajar yang terkandas akibat banjir di Kampung Memanjang, Ladang Ah San, Beluran, berjaya dihantar ke sekolah untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edeon Macheal, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada jam 7.29 pagi menerusi talian balai.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, yang terdiri daripada lima anggota segera digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.32 pagi.
"Pasukan bomba menggunakan bot NADMA untuk membantu pelajar yang terjejas akibat bankir untuk ke sekolah.
"Kesemua pelajar selamat tiba ke destinasi untuk menduduki peperiksaan," katanya.
Operasi berjaya diselesaikan pada jam 9.08 pagi dan pihak bomba memastikan keselamatan pelajar yang terjejas akibat banjir.