![]() |
Gambar suspek |
TAWAU: Kes pecah masuk sebuah bengkel kolam udang membabitkan kerugian RM3,000 berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis menahan seorang lelaki, semalam.
Lelaki tempatan berusia 53 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kawasan Kampung Sungai Gading, Batu 18 Jalan Apas, di sini, kira-kira jam 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata terdahulu pihaknya menerima laporan daripada seorang penyelia syarikat mengenai kejadian itu pada jam 1.24 petang.
Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau digerakkan untuk mengesan suspek terbabit.
“Polis berjaya menahan suspek yang telah dikenal pasti terbabit dalam kejadian itu di sebuah rumah di sekitar kawasan kampung Sungai Gading, Batu 18 Jalan Apas, di sini.
“Dalam serbuan itu, turut ditemui beberapa peralatan bengkel yang dipercayai hasil curi iaitu sebuah mesin welding, grinder dan gerudi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, suspek turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes curi.
Katanya, polis kini sedang menyiasat sama ada suspek bertindak bersendirian atau mempunyai rangkaian dengan individu lain.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda, atau sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.