Polis Sabah tolak himpunan "GEMPUR RASUAH" demi keselamatan awam


 
KOTA KINABALU– Pihak polis menasihatkan agar himpunan aman "Gempur Rasuah," yang dijadualkan berlangsung pada 31 Disember di hadapan Bangunan Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), dibatalkan.

Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan bahawa permohonan untuk mengadakan himpunan tersebut telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam, terutamanya para pengunjung Karnival Ria yang diadakan di kawasan sama.

"Permohonan ini telah kita tolak berdasarkan keadaan-keadaan yang tidak memenuhi syarat untuk diadakan di kawasan berkenaan.

"Tujuan kita menolak perhimpunan ini adalah untuk memastikan keamanan, ketenteraman, dan kesejahteraan para pengunjung Karnival Ria,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, hari ini.


Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis telah mengambil langkah proaktif untuk mengelakkan sebarang gangguan sepanjang acara tersebut berlangsung.

"Pihak polis telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan kehadiran atau niat orang-orang yang mengadakan perhimpunan ini tidak mengganggu kawasan berkenaan.

"Saya menasihatkan kumpulan ini untuk tidak mengadakan perhimpunan bagi kesejahteraan masyarakat terutama sekali para pengunjung Karnival Ria,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, UMS menasihatkan kumpulan mahasiswa yang menganjur perhimpunan ini agar sentiasa mematuhi keperluan undang-undang berkaitan.

"Ini termasuk arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi kesejahteraan serta keselamatan mahasiswa dan ketenteraman awam terpelihara.

"UMS menyediakan landasan dan saluran untuk mahasiswa membincangkan isu-isu semasa secara ilmiah dengan mengutamakan fakta serta wacana yang rasional dan beretika,"jelas dalam kenyataan itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama