Polis Sabah nafi rumah balu anggota polis dirobohkan, percaya dieksploitasi pihak tertentu

                          Datuk Jauteh Dikun


KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menafikan rumah Sitti Bandorah Mahalil, balu kepada seorang anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah di Kampung Simunul tahun 2013 bertempat di Pulau Bugaya Semporna dirobohkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya mengambil maklum dan meneliti isu terbabit yang dilaporkan dalam sebuah portal berita tempatan hingga tular di laman media sosial, baru-baru ini.

“Pihak polis mendapati isu ini tidak benar dan balu kepada Allahyarham tidak tinggal di rumah berkenaan. Rumah terbabit adalah milik kepada ayahnya yang dibina pada 1980-an dan hanya didiami oleh adik serta anak buahnya.

“Siasatan juga mendapati Sitti Bandorah tinggal di rumahnya di daratan selain mempunyai beberapa buah rumah sendiri.

“Semasa operasi merobohkan rumah dijalankan, pihak penguatkuasa tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan terhadap individu berkenaan dan yang paling penting rumah ini tidak pernah diroboh dan hanya beberapa rumah kosong yang dipercayai milik warga asing berhampiran kawasan itu yang dirobohkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya sebelum ini telah menegaskan bahawa mana-mana rumah milik warganegara atau warga tempatan tidak akan dirobohkan dalam operasi ini walaupun notis dikeluarkan pihak Taman-Taman Sabah.

Disamping itu, beliau turut menjelaskan pihaknya turut percaya isu terbabit dieksploitasi oleh pihak tertentu.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 3,257 rumah yang dirobohkan dalam operasi Op Koloni Setinggan ini. Sehingga kini, tidak ada satupun rumah warga negara Malaysia yang dirobohkan.

"Saya percaya bahwa isu ini dieksploitasi oleh golongan tertentu untuk cuba melemahkan operasi yang sedang dirancang oleh pihak PDRM bagi mengurangkan ataupun menghapuskan koloni setinggan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Untuk makluman juga, penama ini (Sitti Bandorah) juga mempunyai seorang anak pegawai kanan polis dan lebih menguatkan faktor terdapat golongan tertentu yang mencoba mengeksploitasi isu ini.

"Selain itu juga mengambil kesempatan memanipulasikan apa juga isu untuk cuba melemahkan usaha pihak berkuasa yang diketuai oleh PDRM dalam usaha untuk menghapuskan koloni setinggan PATI di Sabah,” katanya.

Jauteh berkata, kawasan yang terlibat ini adalah dibawah kendalian Taman-Taman Sabah.

Menurutnya, sebarang isu berkaitan termasuk perkampungan yang didakwa sudah dibina sejak 1980-an itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk mengatasinya.

Dalam sidang media itu, beliau juga memaklumkan kepada pemberita PDRM Sabah belum menerima sebarang laporan disamping tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.

“Selepas berlakunya isu ini, kita sudah menghantar pegawai kita iaitu Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna sendiri untuk berjumpa dengan keluarga ini untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Hasil maklum balas daripada Sitti Bandorah menyatakan dia kadangkala datang ke tempat itu untuk melawat keluarganya dia turut mendakwa berlaku sedikit salah faham semasa proses ini berlangsung," katanya.

Susulan itu, Jauteh memberitahu pihaknya akan melakukan siasatan selanjutnya berkenaan perkara tersebut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama