![]() |
Rafizi dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus RMK13 Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi di Pacific Sutera, Kota Kinabalu pada Khamis. |
Kota Kinabalu- Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menegaskan kerajaan akan memperkemaskan proses perancangan dan pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan isu kelewatan dan kegagalan projek dapat diminimumkan.
Menurut beliau, antara punca utama projek tergendala adalah masalah berkaitan tanah, termasuk projek yang diluluskan sebelum isu pemilikan tanah diselesaikan sepenuhnya.
"Sebahagian daripada projek-projek yang sakit ini selalunya berpunca daripada masalah tanah, contohnya dia kata kita nak buat sekolah tapi tanah itu tak ada lagi.
"Jadi bila projek sudah lulus, projek dah mula berjalan "clock in" namun tanah untuk pembinaan tidak sesuai, kemudian selepas 3 tahun isu permasalahan tanah masih tidak selesai, itu yang jadi projek sakit," kata Rafizi dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus RMK13 Negeri Sabah Peringkat Persekutuan Bersama Kementerian Ekonomi di Pacific Sutera, Kota Kinabalu pada Khamis.
Beliau juga mengumumkan pembaruan yang akan diperkenalkan, termasuk keperluan untuk menyemak dengan bank tanah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri sebelum memohon projek baharu.
Langkah ini penting bagi mengelakkan pertindihan atau kelewatan akibat masalah tanah yang tidak dirujuk.
"Sebagai contoh, tanah untuk sesuatu projek mungkin sudah tersedia di bawah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, tetapi tidak dirujukkan.
"Dengan proses semakan ini, kita boleh memperkemaskan perancangan dan pelaksanaan," tambahnya.
Rafizi turut menegaskan pentingnya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
"Fokus utama adalah memastikan pelaksanaan projek RMK-13 ini lebih lancar dan cepat berbanding sebelum ini, dengan tumpuan pada penambahbaikan proses," katanya lagi.
Dengan langkah ini, beliau berharap semua projek yang dirancang di bawah RMK-13 dapat direalisasikan tanpa sebarang isu permasalahan, sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.