Peserta ‘Drag Battle’ maut, kereta hilang kawalan di litar

  

SANDAKAN: Pemandu drag maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas ketika beraksi dalam acara Drag Battle, di sini semalam.

Mangsa Abang Adib Abang Ali, 36, warga Brunei disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent (HDOK).

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.44 petang.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa adalah salah seorang daripada peserta dalam acara Drag Battle. 

“Siasatan mendapati pada masa kejadian ketika kenderaan yang dipandu mangsa melepasi garisan penamat, telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri litar perlumbaan. 

“Mangsa tersepit dalam kenderaan yang dipandunya dan dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke HDOK untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada jam 5.25 petang. 

“Mayat mangsa kini berada di Unit Forensik HDOK untuk proses bedah siasat dan kes disiasat dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, RCO Motorsport Club dalam kenyataan rasmi, semalam berkata penganjuran Acara Sandakan Drag Battle R3 2024 terpaksa dibatalkan di atas kejadian yang berlaku.

“Kami memohon maaf di atas pembatalan acara ini dan kami mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan anda.

“Kami turut berdukacita dengan apa yang berlaku dan semoga segala urusan dipermudahkan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama