SOOK - Pelaksanaan projek naik taraf Jalan Rancangan Belia Tiulon ke Kampung Simbuan dijadualkan siap pada suku keempat tahun 2027 dan mengambil masa dalam tempoh tiga tahun.
Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata projek terbabit bakal memberi manfaat kepada sekitar 3,000 penduduk sekitarnya yang membabitkan 15 buah kampung.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu menjelaskan projek dengan jarak 22.85 kilometer (KM) ini merangkumi pembinaan tiga buah jambatan konkrit baharu.
Mengulas lanjut, ia turut menaiktaraf sistem peparitan untuk mengalirkan air larian permukaan yang sering kali menyebabkan berlakunya banjir di sepanjang jajaran ini.
"Dengan pembinaan projek ini, ia akan dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan lebih selamat selain mampu menjana peningkatan ekonomi setempat.
"Selain itu ia memberi manfaat kepada penduduk kampung sekitar untuk mengangkut hasil tanaman serta memberi kemudahan perjalanan kepada penduduk kampung," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kawasan Rancangan Belia Tiulon, Sook sedang pesat membangun hasil daripada pelaksanaan agenda pembangunan yang dirancang.
Jelasnya, selain projek naik taraf Jalan Rancangan Belia Tiulon ke Kampung Simbuan, antara projek embangunan telah dilancarkan seperti pembinaan bangunan sekolah baharu SK Rancangan Belia Tiulon dan menara telekomunikasi Rancangan Belia Tiulon yang telah siap dimana pada masa ini memberi perkhidmatan telefon dan internet stabil.
Selain itu, antara projek lain adalah projek lembinaan tamu Rancangan Belia Tiulon baharu yang sedang dalam pembinaan.
"Pelaksanaan projek menaik taraf ini mencerminkan manifestasi Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada aspek keterangkuman, kemampanan dan keadilan sosial
"Ini terutamanya dalam menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur," katanya.