SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing ditemui meninggal dunia selepas dibaham buaya dalam kejadian di kawasan setinggan pembuangan sampah, Batu 8, di sini, semalam.
Mangsa berusia 28 tahun dikatakan dalam perjalanan ke rumah abangnya, kira-kira jam 8.20 malam dengan melalui jambatan kayu sebelum dia disambar buaya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu, sebelum ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal, polis mendapati ketika dalam perjalanan melalui jambatan kayu itu mangsa disambar oleh seekor buaya.
“Mangsa dikatakan sempat menjerit dan meminta pertolongan ketika ditarik reptilia berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa ditemukan oleh ahli keluarganya kira-kira dua meter dari lokasi kejadian pada 9.30 malam, hari yang sama.
“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kesan gigitan disyaki buaya.
“Mayat mangsa dihantar ks Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.