![]() |
Foto ihsan bomba Kinabatangan. |
KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Kampung Bilit, di sini ditemui pagi tadi dalam keadaan tidak sempurna disyaki dibaham buaya.
Mayat Maznin Kahar,40, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 6 pagi dalam keadaan tangan kirinya sudah tiada, selain beberapa lagi kesan gigitan buaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata mangsa ditemui pada hari kedua operasi dijalankan.
Katanya, pasukan bomba bertindak mengambil mayat mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 9 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Kelmarin, BBP Kinabatangan menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kehilangan mangsa pada 1.35 petang.
Hasil maklumat diterima mangsa bersama tiga lagi rakannya menaiki sebuah bot membawa muatan kayu belian menuju ke tempat pemunggahan.
Ketika dalam perjalanan bot mangsa secara tiba-tiba terlanggar sesuatu objek di Sungai berkenaan sebelum dilaporkan karam.
Tiga daripada mereka berjaya menyelamatkan diri berenang ke tebing sungai, tetapi mangsa dipercayai hilang dipercayai dibaham buaya.