Penunggang nyaris maut motosikal terbabas dan terbakar



 

SANDAKAN: Seorang lelaki nyaris maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri dan terbakar di Taman Fajar, Batu 7, di sini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi itu, mangsa sempat mengelak daripada terbakar bersama motor yang ditunggangnya.

Mangsa berusia lingkungan 20-an itu diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 12.47 tengah malam.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah motosikal telah terbabas sendiri di bahu jalan dan terbakar sepenuhnya.

“Mangsa mengalami kecederaan dan telah diberi rawatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke HDOK menggunakan ambulans," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, satu pancutan dengan sumber air dari jentera.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.04 pagi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama