Dua lelaki cedera, lori muat kelapa sawit bertembung


BELURAN: Dua lelaki mengalami kecederaan selepas lori yang mereka pandu bertembung di Check Point Simpang Beluran di sini, semalam.

Kedua-dua mangsa yang berusia 46 dan 18 tahun itu masing-masing mengalami kecederaan di bahagian kepala serta dilaporkan patah kaki dan tangan dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kemalangan itu membabitkan dua buah lori yang membawa muatan buah kelapa sawit telah bertembung.

“Kedua-dua pemandu lori terbabit cedera dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam. 

Menurutnya, kedua-dua mangsa terbabit diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum dihantar ke Hospital Beluran.

“Pasukan bomba bertindak membersihkan kawasan kemalangan dan menamatkan operasi pada jam 9.13 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama