![]() |
Phoong Jin Zhe (tengah), bersama Chai Yee Choong(kanan) dan Mohd Akbal (kiri) ketika merasmikan majlis Christmas 2024 ‘A Joyful Celebration’ bersama MYES 2024 di IMAGO Shopping Mall Kota Kinabalu |
KOTA KINABALU – IMAGO Shopping Mall melancarkan acara Krismas tahunan yang dinanti-nantikan, “A Joyful Celebration”, bersempena Jualan Akhir Tahun Malaysia (MYES) 2024. Acara ini merupakan kolaborasi istimewa dengan Tourism Malaysia, bertujuan mempromosikan sektor peruncitan dan pelancongan di Sabah.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menekankan peranan strategik sektor peruncitan dalam memacu ekonomi negeri dan menarik pelancong dari serata dunia, khususnya dari China dan Korea.
“Pusat beli-belah IMAGO memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama.
“Walaupun tanpa salji, suasana Krismas di IMAGO membolehkan pelancong menikmati pengalaman perayaan ini di Bandar Kota Kinabalu,” katanya pada majlis perasmian Christmas 2024 ‘A Joyful Celebration’ bersama MYES 2024 di IMAGO Shopping Mall Kota Kinabalu, di sini, Khamis lalu.
Beliau turut memberi pujian kepada usaha IMAGO dalam menyokong pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan, sambil menyatakan komitmen kerajaan untuk menyokong inisiatif peruncitan dan keusahawanan di seluruh negeri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asian Pac Holdings Bhd., Chai Yee Choong, berkata bahawa acara ini bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi simbol pertumbuhan IMAGO dan semangat kerjasama komuniti.
Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada kempen Pelancongan Malaysia di seluruh negara, MYES 2024 meraikan suasana peruncitan Malaysia yang meriah dengan mempamerkan pelbagai tawaran membeli-belah, pilihan tempat makan, dan pengalaman menarik.
Di samping itu, Timbalan Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia menggariskan kepentingan membeli-belah dalam sektor pelancongan negara. Sebagai sebahagian daripada kempen nasional Tourism Malaysia, MYES 2024 meraikan suasana peruncitan yang dinamik di Malaysia.
“Membeli-belah adalah komponen utama industri pelancongan negara kita. Sejak Januari hingga September 2024, perbelanjaan pelancong dalam segmen membeli-belah mencecah RM26.98 bilion, peningkatan ketara 63% berbanding RM16.56 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2023.
“Justeru, kami yakin pengenalan semula Jualan Mega Malaysia kempen tahun ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan segmen ini,” jelas beliau.
IMAGO turut mengubah gelanggang tengah pusat beli-belah itu menjadi sebuah Bandar Krismas yang indah, menampilkan hiasan menarik dan suasana mesra untuk semua pengunjung.
‘A Joyful Celebration’ berlangsung bermula 1 Disember 2024 hingga 1 Januari 2025 di The Oval, Ground Floor, IMAGO Shopping Mall.