![]() |
Foto ihsan Bomba |
PITAS- Lima buah rumah dan sebuah rumah kedai musnah dalam satu kebakaran di Jalan Mempakan, Kampung Meliau, Pitas pada pagi Isnin.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.47 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu bergegas ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 10.29 pagi.
Kesemua lima rumah dan sebuah rumah kedai yang terlibat dalam kebakaran tersebut dilaporkan mengalami kemusnahan teruk.
"Rumah pertama yang merupakan struktur separuh kekal berukuran 45x50 kaki, rumah kedua jenis tidak kekal berukuran 20x40 kaki, dan rumah ketiga yang juga separuh kekal berukuran 30x40 kaki, semuanya musnah 100%.
"Rumah keempat jenis tidak kekal berukuran 20x40 kaki turut musnah sepenuhnya, manakala rumah kelima, juga jenis tidak kekal berukuran 30x40 kaki, terbakar 10% akibat bahang api.
"Manakala sebuah rumah kedai jenis tidak kekal berukuran 20x20 kaki turut musnah sepenuhnya dalam kejadian itu," katanya.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera.
Seorang lelaki dilaporkan cedera akibat melecur pada tangan dan telah diberikan rawatan.
Setakat ini, pihak bomba masih menjalankan kerja-kerja susulan bagi memastikan tiada ancaman lain di lokasi.
Tamat.