Pemandu pacuan empat roda maut dalam kemalangan

Kereta mangsa


SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dipandunya terbabas di Jalan Fok Hin Batu 12, di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sankui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 5.42 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah pacuan empat roda telah terbabas sendiri di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa mengalami kecederaan parah dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa seterusnya dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 7 malam,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama