Pemandu cuai sebabkan penunggang motosikal maut

Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Lintas, malam tadi.


KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut akibat kecederaan parah selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Lintas, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 9 malam.

Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Honda telah berlanggar dengan kereta Proton Saga.

“Hasil siasatan awal, pemandu kereta berusia 20-an yang datang dari arah Jalan Lintas Plaza cuba memasuki simpang kanan ke Kondominium Ria, Jalan Khidmat.

“Namun, motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan iaitu jalan lurus telah melanggar bahagian sisi kiri pintu kereta berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 20-an terjatuh dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang memasuki simpang ke Jalan Khidmat sehingga menyebabkan berlaku kemalangan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama